Monday, February 7, 2011

sejarah kampung lobak,mahang

PENGENALAN
          Kg. Lobak terletak di dalam Mukim Mahang yang berdekatan dengan Pekan Mahang. Pekan Mahang adalah kira-kira 35 km ke timur bandar Kulim, Kedah Selatan. Mukim Mahang mengandungi kampung-kampung seperti Kampung Lobak, Kampung Ulu Mahang, Kampung Paya, Kampung Bukit Kubur, Kampung Bukit Kabu, Kampung Dingin dan Kampung Caruk Kedah. Kawasan Mukim Mahang adalah bersempadan dengan negeri Perak Darul Ridzuan dan keadaan muka buminya berbukit bukau.

SEJARAH
          Tiada fakta yang kukuh tentang sejarah sebenar kampung ini, walau bagaimana pun pendapat berikut telah diperolehi:

1.      Perkataan Lobak pada asalnya daripada sejenis pokok sayuran yang berdaun panjang serong dan tidak berubi. Panjang daunnya adalah lebih kurang satu ke satu setengah kaki. Pokok Lobak ini tumbuh di kawasan hutan rimba. Melalui cerita-cerita, orang-orang pertama yang datang berhijrah ke kawasan ini telah meneroka untuk dijadikan tempat tinggal. Dalam usaha meneroka, mereka terjumpa sekumpulan pokok berdaun panjang serong dan lembut serta boleh dimakan. Pokok ini dinamakan Salang Serong atau Lobak Hutan.

2.      Adalah dipercayai Kampung Lobak mula diterokai pada tahun 1909 hingga 1910. Mengikut sumber-sumber sejarah negeri Kedah pada zaman purba, terdapat masyarakat melayu di kawasan terpencil di selatan dan timur dari Kulim. Adalah dipercayai penduduk kampung-kampung sekitar tersebut datangnya dari daerah Baling, Sik dan juga Pattani (Siam).
3.      Sumber sejarah kampung ini juga didapati daripada salah seorang tertua kampung ini (berumur 90 tahun), mengatakan kampung ini telah diterokai dalam tahun 1909/1910 oleh 4 orang sahabat bernama Tok Haji Abbas, Tok Haji Talib, Tok Jusoh dan Jusoh. Keempat-empat mereka ini berasal dari Pattani (Siam).

          Kampung Lobak pada asalnya terbahagi kepada 3 buah kampung kecil seperti Kampung Lobak, Kampung Binjai (Lobak A) dan Kampung Lubuk Gajah (Lobak B). Ianya telah dicantumkan menjadi sebuah kampung bernama Kampung Lobak. Melalui sejarah, kampung-kampung kecil ini berasal seperti berikut:

1.      Kampung Binjai (Lobak A): Ianya diambil dari sejenis pokok “Binjai”. Pokok ini seakan-akan pokok Bacang. Buah Binjai seakan buah koko dan berwarna hitam kebiruan dan isinya terasa masam-masam manis.
2.      Kampung Lubuk Gajah (Lobak B): Menurut cerita, sekumpulan gajah yang berulang alik di rimba sempadan negeri Kedah dan Perak, sentiasa singgah di Lubuk Sungai Kerian. Seterusnya kampung ini dinamakan Kampung Lubuk Gajah, sehinggalah ditukarkan kepada Kampung Lobak B selepas merdeka.

          Kampung Lobak yang terletak berhampiran dengan pekan Mahang, akan menikmati pembangunan yang pesat. Ini disebabkan ianya berdekatan dengan Taman Teknologi Kulim (Kulim Hi-Tech Park) dan juga sebuah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim di bawah Jabatan Tenaga Rakyat, Kementerian Sumber Manusia. yang telah bermula operasi pada tahun 2001     di mukim Mahang. Dengan adanya kedua-dua projek ini, kemudahan infrastruktur dan kemudahan sampingan lain akan dinikmati oleh semua penduduk kawasan mukim Mahang. Peluang ini akan digunakan oleh penduduk kampung, khasnya Kampung Lobak bagi mencapai hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan desa sebagai MAJU, MENARIK dan MENGUNTUNGKAN.

No comments:

Post a Comment